Yayan Ruhian Tolak Tawaran Berlakon Di Hollywood Kerana ‘Mat Kilau’

Filem Mat Kilau yang mula ditayangkan pada 23 Jun lalu menjadi fenomena peminat filem Malaysia dengan lakonan hebat pelakon Malaysia. Selain itu, kehadiran pelakon hebat dari Indonesia, Yayan Ruhian yang pernah muncul dalam John Wick 3 menyerlahkan lagi filem fiksyen aksi berlatar belakang sejarah ini.

Nama Yayan Ruhian mula menjadi sebutan ramai menerusi filem aksinya, The Raid. Filem ini berjaya menduduki tempat ke-11 dalam carta filem Hollywood. Justeru, tidak hairanlah ramai pembikin filem dunia mahu dia berlakon dalam filem mereka. Termasuk Chad Stahelski.

Memetik Tempo, Yayan dihubungi terus tanpa perlu menjalani uji bakat oleh produksi filem John Wick 3: Parabellum arahan Stahelski.

“Alhamdulillah, saya tidak perlu melalui uji bakat. Jadi mereka panggil terus dari sana untuk bersama dalam filem ini,” katanya, lapor Tempo.

Bagaimanapun, menurut Tempo, Yayan terpaksa menolak tawaran itu berikutan jadual penggambaran yang bercanggah dengan filem lain yang sedang berlangsung daripada produksi filem Malaysia.

“Saya dihubungi pada April 2018 dan diminta melakukan penggambaran pada Mei. Kebetulan tarikh tersebut bertepatan dengan penggambaran filem di Malaysia iaitu Mat Kilau. Kerana saya perlu kekal profesional dengan kontrak lebih awal, jadi saya menolak,” jelasnya, lapor Tempo.

Tidak sedikit pun mematahkan semangatnya, Yayan berkata semua rezeki sudah ditentukan oleh Sang Pencipta. Nampaknya, rezeki berada dalam filem itu memang menyebelahinya. Pihak produksi telah menghubungi semula untuk menyesuaikan jadual tepat untuknya dalam filem itu.

“Syukur kerana ini memang jalan yang Allah aturkan. Walaupun saya sudah maklumkan tidak boleh, tetapi empat hari kemudian mereka menelefon semula untuk mengatur jadual yang sesuai,” katanya kepada Tempo.

Filem John Wick 3: Parabellum telah ditayangkan di Indonesia pada 15 Mei 2019. Ia merupakan kesinambungan kisah seorang pembunuh upahan lakonan John Wick (Keanu Reeves) yang menjadi buruan pembunuh upahan di seluruh dunia dan salah seorang daripadanya dilakonkan oleh Yayan Ruhian.

Sementara itu, lakonan mantapnya dalam filem Mat Kilau mendapat perhatian orang ramai dengan watak antagonisnya yang amat menyerlah.

Yayan Ruhian juga berkesempatan menziarahi Makam Pahlawan Melayu, Mat Kilau di Kg. Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang sebelum berlepas ke Indonesia.

“Sebelum pulang ke Indonesia, ziarah Makam Pahlawan Mat Kilau di Kg Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang.

“Terima kasih kepada semua saudara dan saudari di Malaysia, kami telah diterima dengan baik di sini. Semoga berseronok dan berjumpa lagi. Mohon maaf zahir dan batin jika ada salah dan silap,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Komen @ Facebook

Related Posts