Pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Muar telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas empat pertuduhan menerima rasuah yang berjumlah RM27,600.

Ahmad Jamil Md Saru, 40 mengaku tidak bersalah di atas tuduhan-tuduhan tersebut selepas ianya dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamil Arifin Ismail.
Tertuduh didakwa telah menerima beberapa suapan yang berjumlah antara RM3,000 hingga RM11,000 daripada pengurus syarikat lori sebagai habuan untuk tidak mengambil sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas lori-lori milik syarikat berkenaan.
Perbuatan menerima rasuah itu didakwa telah dilakukan di sebuah bank di Jalan Sulaiman, Muar bertarikh antara 26 Januari 2016 hingga 24 Mac 2019.
Pendakwaan telah dibuat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan ianya boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga denda minima lima kali ganda nilai suapan ataupun RM10,000, yang mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah telah menetapkan jumlah jaminan RM6,000 dengan beserta seorang penjamin dan juga telah menetapkan 20 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes rasuah ini.
Tertuduh telah berkhidmat dengan abatan Pengangkutan Jalan selama 14 tahun turut juga diarahkan untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka setiap bulan selain juga menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.
Pendakwaan ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh pula tidak diwakili mana-mana peguam.
Komen @ Facebook