Najwa Latif atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif merupakan antara penyanyi yang terbukti berbakat dari segi nyanyian dan permainan alat muzik yang pernah menjadi fenomena.
Terkenal dengan lagu berjudul Kosong, Najwa Latif masih gigih dalam perjalanan menimba ilmu bagi mendapatkan ijazah doktor falsafah (PhD).
Pada tahun 2017, Najwa Latif menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Antarabangsa Unitar (UNITAR).
Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam jurusan yang sama di Universiti Malaya (UM).
Najwa Latif yang memegang jawatan pensyarah di UNITAR sejak 2018, kini menyambung pengajian di peringkat PhD dalam TESL di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penyanyi yang pernah berada di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) itu melahirkan rasa teruja dan bersyukur kerana berpeluang memperoleh ijazah kedoktoran apabila tamat pengajiannya.
Menurutnya, tempoh yang diperuntukkan untuk menamatkan pengajian di peringkat PhD dijangka tamat dalam tempoh tiga hingga enam tahun.
“Memang masih jauh untuk saya merangkul gelaran itu, tetapi saya rasa dapat bergelar doktor adalah pencapaian luar biasa buat saya yang tidak pernah meminati bidang akademik.
“Kini, saya lebih fokus menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk membuat tesis yang bagus,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, dia juga percaya semakin banyak kita belajar, semakin banyak yang kita masih tidak tahu kerana ilmu itu sangat luas dan tidak akan ada penghujungnya.
“Walaupun sudah tamat PhD nanti, saya rasa saya akan terus belajar untuk kepuasan dan memajukan diri sebagai seorang pendidik dan individu.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk sambung belajar, tetapi ini adalah permulaan baharu untuk terus memperbaiki diri dalam subjek yang sangat saya gemari iaitu TESL,” jelasnya.
Pencapaian Najwa Latif sebagai penyanyi dan pada masa yang sama sebagai pelajar perlu dijadikan contoh untuk memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha dalam menimba ilmu.
Komen @ Facebook