Mangsa Visa Furada Palsu – 380 Jemaah Haji Terkandas

SEPANG, 7 Julai (Bernama)-Kira-kira 380 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sejak pagi tadi dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Berlepas KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan bukannya melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa melibatkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Menurut seorang jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Adi, agensi pelancongan itu meminta semua jemaah di bawah kawalannya datang ke KLIA hari ini memandangkan penerbangan itu dijangka berlepas pada 4.30 petang, namun kemudiannya dimaklumkan ia ditangguhkan kepada 7 malam.

“Semakan kami mendapati penerbangan terakhir ke Jeddah, Arab Saudi adalah kira-kira jam 6 petang tadi dan sehingga kini kami masih belum dimaklumkan apa-apa oleh wakil agensi pelancongan itu,” katanya.

Menurutnya, mengikut perancangan awal, mereka sepatutnya ke Jeddah Selasa lalu tetapi ditangguhkan atas alasan masih terdapat dokumen yang tidak lengkap.

Katanya, bakal jemaah haji juga tidak pernah ditunjukkan tiket penerbangan dan visa untuk menunaikan haji.

Seorang lagi jemaah yang dikenali sebagai Jamilah, 59, berkata, dia berasa lega dengan apa yang menimpa dirinya dan suami sambil menyifatkan ia sebagai ujian daripada Tuhan.

“Sehingga kini kami masih tidak mendapat pasport kerana masih dipegang oleh agensi pelancongan,” katanya yang berasal dari Terengganu dan telah membayar RM76,000 kepada agensi pelancongan itu untuk menunaikan haji bersama suaminya.

Jamilah berkata, kakitangan agensi pelancongan itu hadir bertemu dengan kumpulan berkenaan namun mereka tidak mendapat penjelasan sebenar berhubung masalah itu.

“Kami tidak pernah ditunjukkan tiket kapal terbang dan visa tetapi kami meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka tetapi tidak menyangka kami menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman ketika dihubungi berkata polis masih merekodkan keterangan daripada pengendali agensi pelancongan itu.

Komen @ Facebook

Related Posts