Kompaun sebanyak RM250 bakal dikeluarkan kepada premis perniagaan di bandar raya Ipoh jika gagal mematuhi arahan pemasangan dan juga mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Datuk Rumaizi Baharin (Datuk Bandar Ipoh) berkata kompaun dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ini adalah selaras dengan Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Bagi lebih menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, Majlis Bandaraya Ipoh telah pun mengeluarkan lebih 6,000 notis arahan pemasangan Jalur Gemilang kepada premis-premis persendirian dan MBI juga sudah memasang lebih 5,000 Jalur Gemilang di jalan-jalan utama dan sekitar bandar raya Ipoh.
“MBI akan melaksanakan pemantauan secara berkala ke premis-premis terutama dalam tempoh seminggu sebelum Hari Kebangsaan namun selama ini, pihak MBI mengamalkan sikap toleransi dengan memberi nasihat berbanding kompaun,” katanya lagi selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBI 2022 hari ini.
Lebih 1,000 kakitangan MBI memeriahkan program itu yang turut juga diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya adalah perarakan pasukan Penguatkuasa MBI, persembahan serta pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan rasmi milik MBI.
Rumaizi berkata lagi kesedaran mengenai sambutan kemerdekaan ini amat penting dan perlu kita semai bagi memupuk semangat cintakan negara dan juga menyuburkan rasa hormat antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang, agama dan kaum.
Komen @ Facebook