“Dulu Tengok Muka Dia, Tak Sanggup Nak Terima” – Ibu Kepada Anak Syndrom Down

Video anak syurga berusia setahun dan tiga bulan itu sering dikongsi ibunya menerusi aplikasi TikTok.

Selain mengumpulkan hampir 200,000 pengikut, video mereka juga mendapat jutaan tontonan di platform tersebut.

Menurut Azmanina Azihan atau Chibby, 23, anaknya bernama Nur Ariana Hessa Nor Azlan dilahirkan pada 6 Jun tahun lalu.

Kata Chibby, dia menerima berita bayi sulungnya menghidap sindrom down ketika hamil tujuh bulan.

Walaupun pada mulanya sukar menerima hakikat, Chibby reda dengan ketetapan takdir dan menganggap gadis comel yang mesra disapa Hessa itu sebagai anugerah terindah dalam hidupnya.

“Saya dapat tahu ketika dia masih dalam perut. Saya buat imbasan lima dimensi (5D) ketika kandungan berusia tujuh bulan. Masa tu kami dapat lihat dia ada simptom sindrom down, jantungnya juga ada masalah.”

“Suami banyak bagi kata-kata semangat pada saya pada waktu itu. Ketika dilahirkan, doktor sekali lagi maklumkan kepada kami bahawa Hessa menghidap sindrom down. Masa tu saya tak boleh terima, tapi nak tak nak kena terima.”

“Bila tengok muka dia, automatik jadi tak sanggup untuk tak terima dia. Selepas kelahiran Hesa, Alhamdulillah rezeki tak putus datang. Hessa pun senang jaga. Dia seorang anak yang ceria dan susah menangis.

“Masa Hessa lahir, ada tiga lubang pada jantungnya. Alhamdulillah, masa habis berpantang, kami pergi check semua dah tertutup sendiri. Jantung dia dah OK,” ujarnya kepada mStar.

Anak-anak tak minta dilahirkan begitu. Kita kena terima, anak merupakan pembawa rezeki.

CHIBBY

Bercerita lanjut, Chibby bersyukur apabila mendapat banyak sokongan daripada netizen sejak berkongsi video telatah anaknya menerusi TikTok.

Selain itu, ramai ibu muda termasuk yang mempunyai anak sindrom Down turut menghantar mesej dan bertanyakan pelbagai soalan kepada mereka.

Dalam pada itu, kata Chibby, dia turut berdepan situasi di mana terdapat segelintir individu yang ‘bercakap’ mengenai keadaan anaknya.

Chibby bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.

“Di TikTok, ramai yang mesej minta pendapat dan kata-kata semangat dengan saya kerana mereka tengok saya positif membesarkan Hessa.

“Pesanan saya kepada ibu-ibu di luar sana, anak-anak tak minta dilahirkan begitu. Kita kena terima, anak merupakan pembawa rezeki. Abaikan saja mulut orang mengata, mereka tak alami sendiri.

“Awal-awal dulu ada yang cari pasal, sekarang makin berkurang. Saya tak tahu sekiranya mereka tak takut kalau kata-kata tu berbalik semula kepada mereka,” ujarnya lagi.

Berkongsi berita gembira, Chibby kini hamil tujuh bulan dan bakal menerima cahaya mata kedua tidak lama lagi.

Video pasangan ibu dan anak ini sering tular di TikTok.

Bercerita tentang dirinya, Chibby sudah empat tahun berkecimpung dalam perniagaan pakaian

Katanya, dia tidak mempunyai masalah untuk menguruskan anak dan perniagaan pada masa yang sama dan berharap ibu di luar sana dapat melakukan perkara yang sama.

“Saya dah empat tahun jual baju, sejak belum kahwin lagi. Dari bujang sehinggalah dah ada anak. Memang susah nak handle dua-dua. Tapi kita kena cari duit lebih pada musim pandemik.”

“Alhamdulillah, masih ada permintaan walaupun Covid-19 sedang melanda. Kalau ada ibu-ibu yang nak buat bisnes, anak bukan alasan. Ia merupakan kehendak sendiri. Yang penting kena pandai urus,” ujarnya yang turut memiliki saluran YouTube sendiri.

Komen @ Facebook

Related Posts