SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan beliau telah membuat wakaf khas kepada Majlis Agama Islam Kedah seluas 0.4775 hektar tanah di mukim Kepala Batas untuk Tanah Perkuburan Islam Masjid As -Shahab di mukim Kepala Batas .
Katanya, sekiranya ia tidak digunakan untuk tujuan asal wakaf, maka pihak masjid boleh menggunakannya untuk tujuan pertanian atau aktiviti lain yang boleh memberi pulangan kepada masjid.
“Saya berharap tidak berlaku pembaziran ke atas tanah wakaf yang telah diwakafkan oleh individu yang berniat melaksanakan salah satu daripada syariat Islam.”
“Wakaf adalah salah satu ibadah yang disediakan oleh Islam. Ia bertujuan untuk menyerahkan harta atau wang untuk kegunaan umat Islam dengan niat ALLAH.”
“Namun, didapati banyak tanah wakaf terbiar, tidak diusahakan untuk pembangunan dan disebabkan itu tiada pulangan dari tanah terbiar ini,” katanya dalam catatan di Facebook rasminya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, beliau berharap pihak yang bertanggungjawab memastikan tanah wakaf itu dapat diuruskan dengan baik dan berbakti kepada ummah.
“Saya cadangkan jika tidak digunakan buat sementara waktu, perlu digunakan untuk pembangunan atau untuk tanaman pertanian, jalan raya dan lain-lain.”
“Dengan aktiviti sebegini, ia dapat dimanfaatkan dan niat pewakaf itu tidak sia-sia,” katanya.
Komen @ Facebook