Dipenjara 14 Bulan, Suri Rumah Tertangkap Ketika Mencuri Paket Milo

MARANG: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri dua paket Milo bernilai RM73 di sebuah pasar raya di sini pada 25 Mei lalu.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Suhaini Mohd., 43, yang juga penagih dadah, mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan fakta kes, pemilik pasar raya itu mengesan tindakan Suhaini yang mencurigakan kerana disyaki mencuri menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Dia kemudian mengekori tertuduh sebelum wanita itu memutuskan untuk melarikan diri dengan meninggalkan motosikal yang ditunggangnya di Hentian Bas Marang di sini.

Tertuduh ditahan polis di rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun berdasarkan nombor pendaftaran motosikal terbabit pada 6 Jun lalu.

Suhaini yang mempunyai empat anak sebelum ini mempunyai tiga rekod jenayah mencuri barangan pasar raya pada 2019 dan 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan, Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Komen @ Facebook

Related Posts