Baru berusia 8 tahun tapi pendapatan RM8,000 sehari

Baru berusia lapan tahun tapi siapa sangka, Ahmad Faiq Adrian Mohamad Firdaus dari Kampung Lak Lok Dalam, Besut ini mampu menjana pendapatan lumayan hasil dari menjual anak ayam kampung putih ataupun dengan nama lain ‘Hyline White’.

Ahmad Faiq berkata, dia bermula dengan hanya menternak ayam sebagai hobi sebelum mengambil inisiatif tambahan menjual anak ayam menerusi Facebook (FB) dan tidak menjangka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Katanya, dia mendapat sokongan dan bimbingan daripada bapa beliau, Mohamad Firdaus Ismail, 40, dan juga ibu beliau, Normah Ahmad, 36.

“Bapa membeli anak ayam daripada pembekal yang mana bapa saudara saya sendiri, Mustapa Omar, secara pukal sebelum saya menjualnya melalui promosi di laman sesawang Facebook.

“Rekod paling banyak anak ayam yang saya pernah jual adalah 3,200 ekor anak ayam dalam tempoh sehari pada harga RM10 untuk empat anak ayam” katanya.

Tambahnya, dia rasa seronok kerana terbabit dalam perniagaan ini.

“Sebahagian besar pelanggan saya membeli anak ayam dalam kuantiti besar bagi tujuan diternak secara komersial, manakala ada juga yang membeli untuk diternak di kawasan rumah sahaja.

“Keistimewaan anak ayam kampung putih ini adalah cepat membesar dan boleh dijual semula,” katanya.

Sementara itu pula, Mohamad Firdaus berkata yang beliau memberi sokongan dan bimbingan kerana anaknya amat berminat tentang penternakan dan perniagaan.

“Dahulunya, Ahmad Faiq kerap mengikuti bapa saudaranya menjual pelbagai jenis ayam di Pasar Tani dan juga ekspo pertanian.

“Saya dan isteri kemudiannya bersepakat bagi mengeluarkan modal permulaan untuk membeli anak ayam sebelum ia dijual oleh Ahmad Faiq,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka jualan anak beliau mendapat sambutan yang menggalakkan.

Komen @ Facebook

Related Posts